MENU

Majlis Tempatan Skudai

Pekan Skudai terletak di Batu 10, Jalan Ayer Hitam Johor Bahru dan juga di antara Simpang Jalan Gelang Patah dan Simpang Jalan Pontian, 16km daripada Bandaraya Johor Bahru.

Majlis Tempatan Skudai telah ditubuhkan pada tahun 1953 mengikut Undang-Undang Majlis Tempatan 1952 dan The Town Boards Enactment No. 118. Majlis Tempatan ini ditadbirkan oleh sebuah Lembaga Pengurusan yang mengandungi 8 orang Ahli-ahli Mesyuarat di mana 6 orang dipilih oleh penduduk tempatan di bawah Akta Pilihan Raya Majlis Tempatan, 1960. Manakala 2 orang lagi dilantik oleh Kerajaan Negeri. Poh Yong Kee telah dipilih sebagai Pengerusi pertama Majlis Tempatan Skudai daripada 1953 hingga 1960. Beliau dipilih semula pada tahun 1962 dan terus memegang jawatan tersebut sehingga 1973.

Luas kawasan Pentadbiran bertambah kepada 340 ekar pada tahun 1970. Bilangan rumah kediaman dan rumah kedai pada tahun 1957 adalah sebanyak 184 buah dan kebanyakkannya dari jenis sementara. Pada tahun 1976, bilangan rumah kediaman dan rumah kedai telah bertambah 3 kali ganda kepada 593 buah. Ini disebabkan oleh beberapa projek perumahan telah dilaksanakan oleh pihak-pihak swasta pada masa tersebut.