MENU

Majlis Tempatan Ulu Tiram

Ulu Tiram terletak kira-kira 20km dari bandar Johor Bahru ke arah Jalan Kota Tinggi. Kampung Baru ini yang dibuka sejak tahun 1927 mempunyai lebih kurang 500 orang penduduk dengan 47 unit rumah kedai dan 5 unit rumah kediaman. Ia juga mempunyai sebuah Balai Polis dan sebuah Wakil Pos.

Ulu Tiram mula bertukar wajah apabila pejabat penempatan semula Resettlement dijalankan oleh Kerajaan semasa darurat pada tahun 1949 dan 1951. Penduduk-penduduk telah dikumpulkan dan diberikan bantuan asas termasuklah mendirikan rumah kediaman.

Pada tahun 1949, sebuah New Village Committee di bawah jagaan Resettlement Officer telah ditubuhkan. Jawatankuasa ini mempunyai 6 orang ahli dan pengerusinya ialah Yong Yaw Num.

Pada akhir tahun 1953, Majlis Tempatan Ulu Tiram diisytiharkan untuk mengambil alih New Village Committee. Pilihanraya yang terakhir diadakan pada 30 Mei 1962. 4 calon Parti Perikatan dan 4 calon Parti Barisan Sosialis telah dipilih dan 1 lagi perlantikan oleh Kerajaan, Jawatankuasa Majlis Tempatan telah ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh Liew Sing Seng dari Parti Perikatan.