MS ISO 37001:2016 SISTEM PENGURUSAN ANTIRASUAH (ABMS)
Selaras dengan usaha dan komitmen Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dalam membudayakan warga kerja sifar toleransi terhadap segala bentuk jenayah rasuah, MBIP telah berjaya mendapatkan pensijilan MS ISO 37001:2016. Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS) daripada pihak SIRIM QAS International pada 12 November 2024. Sistem Pengurusan Anti-Rasuah atau Anti Bribery Management System (ABMS) MS ISO 37001:2016 merupakan satu sistem kawalan dalaman secara sukarela bagi mengesan, mencegah, mengendalikan, menguatkuasa, menilai serta menambah baik langkah pengurusan anti-rasuah secara berkesan. Ia juga merupakan satu instrumen yang fleksibel dan dapat disesuaikan dengan risiko rasuah yang mungkin dihadapi oleh MBIP.
Pelaksanaan sistem ini juga dapat membuktikan kepada pihak berkepentingan (stakeholders) serta memberikan keyakinan dan kepercayaan bahawa MBIP mempunyai amalan dan inisiatif anti-rasuah yang mencukupi dan dilaksanakan sebaiknya sekaligus menunjukkan komitmen MBIP terhadap amalan anti-rasuah. Di samping itu, pengiktirafan ini juga dapat membantu negara dalam menaikkan tangga Indeks Persepsi Rasuah (CPI). Ini adalah sejajar dengan usaha kerajaan dalam menjadikan Malaysia dikenali sebagai negara bebas rasuah.
Satu penghargaan dan pengiktirafan telah diterima daripada Yang Berbahagia Dato’ Haji Azmi Bin Hj. Alias, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor di atas pencapaian yang telah diperolehi MBIP.


