Takwim
| Isnin | Selasa | Rabu | Khamis | Jumaat | Sabtu | Ahad |
|---|---|---|---|---|---|---|
1 | 2 | 3 | 4 | |||
5 | 6 | 7 | 8 | 9 | 10 | 11 |
12 | 13 | 14 | 15 | 16 | 17 | 18 |
19 | 20 | 21 | 22 | 23 | 24 | 25 |
26 | 27 | 28 | 29 | 30 | 31 |
MBIP BEKERJASAMA DENGAN PAMso BAGI MENGANJURKAN BENGKEL “ROADSHOW GUIDE TO FIRE PROTECTION IN MALAYSIA”
Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) telah menganjurkan Bengkel Roadshow Program Guide to Fire Protection in Malaysia bertempat di Dewan Utama Bangunan Temenggong Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. Program ini merupakan roadshow kelima selepas penganjuran di Kuching, Kuala Lumpur, Kuantan dan Kota Kinabalu, serta dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara MBIP dan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM).
Majlis perasmian bengkel ini telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Encik Tambi Omar bin Latip, Setiausaha Ahli Majlis MBIP. Turut hadir ialah Yang Berusaha Tuan Farid Asyhadi bin Assa’ad, Ketua Cawangan Piawaian Keselamatan Kebakaran, Bahagian Keselamatan Kebakaran, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia; Yang Berusaha Ar. Ellina Rahman, Penyelaras Bengkel Roadshow daripada DP Arkitek Sdn. Bhd.; serta Yang Berusaha Ar. Ahmad Farik Abdul Ghaffar, Pengerusi Pertubuhan Arkitek Malaysia Cawangan Selatan.
Penganjuran bengkel ini bertujuan menyediakan platform strategik yang menghimpunkan agensi kerajaan dan pemain industri bagi memperkukuh kefahaman serta pelaksanaan aspek perlindungan kebakaran dalam persekitaran binaan. Fokus perbincangan adalah selaras dengan Guide to Fire Protection in Malaysia Edisi Ketiga, mengambil kira perkembangan teknologi semasa serta keperluan pematuhan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL). Program ini turut mengetengahkan isu cabaran serta garis panduan pelaksanaan teknologi boleh baharu, khususnya berkaitan kemudahan kenderaan elektrik (EV), bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan pemahaman peserta terhadap aspek keselamatan kebakaran yang berkaitan.
MBIP berharap penganjuran bengkel selama dua hari ini dapat meningkatkan tahap pengetahuan dan kompetensi para perunding profesional, khususnya dalam kalangan arkitek, pemaju, dan agensi teknikal di Negeri Johor, di samping menyokong usaha berterusan ke arah pembangunan bandar yang lebih selamat, mampan dan berdaya huni. Sambutan dan penyertaan yang menggalakkan daripada para profesional tempatan jelas mencerminkan komitmen berterusan Johor terhadap pemerkasaan aspek keselamatan kebakaran serta amalan terbaik industri.

