PENGENALAN




Penubuhan Koperasi Iskandar Puteri Berhad telah diusahakan oleh Ts. Mohd Zamri bin Buang, Pengerusi Peringkat Pekerja Majlis Bersama Jabatan, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri pada awal tahun 2018. Jawatankuasa Setiausaha Penaja (koperasi dalam penubuhan) telah diwujudkan terdiri daripada 3 orang iaitu Ts. Mohd Zamri bin Buang, En. Muhammad A’zim bin Abd Karim dan Puan Nor Ardiza binti Md Amin. Jawatankuasa ini sentiasa mengadakan perjumpaan dan perbincangan bersama pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi mendapatkan khidmat nasihat dan syarat-syarat penubuhan koperasi.



Cetusan idea menubuhkan Koperasi Iskandar Puteri Berhad turut dilontarkan dalam Mesyuarat Bersama Jabatan, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri oleh Yang Berhormat Dato’ Haji Adib Azhari bin Daud, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri. Beliau meminta agar diwujudkan koperasi kakitangan bagi memudahkan kakitangan terlibat dengan aktiviti pinjaman dan pelaburan. Beliau juga telah menamakan koperasi ini sebagai Koperasi Iskandar Puteri Berhad.



Majlis Mesyuarat Agung Permulaan diserikan dengan perasmian Yang Berhormat Dato’ Haji Adib Azhari bin Daud, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri


Justeru itu, Wakil Pihak Pekerja, Majlis Bersama Jabatan telah diberi mandat oleh Datuk Bandar untuk membentuk jawatankuasa bagi membincangkan syarat-syarat yang perlu dipatuhi sebelum mengadakan Mesyuarat Agung Permulaan penubuhan koperasi kakitangan. Maka, pada 16 Julai 2018 di Dewan Serbaguna Skudai MBIP, Mesyuarat Agung Permulaan Koperasi Iskandar Puteri Berhad telah diadakan dengan dihadiri oleh 350 orang bakal anggota untuk menimbang dan meluluskan Penubuhan dan Pendaftaran Koperasi, Penerimaan Undang-Undang Kecil Koperasi, Pemilihan Anggota Lembaga Koperasi dan Belanjawan Koperasi.



Sambutan dan sokongan daripada kakitangan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri yang hadir ke Mesyuarat Agung Permulaan bagi menubuhkan Koperasi Iskandar Puteri Berhad



Pada 13 September 2018, Koperasi Iskandar Puteri Berhad secara rasminya telah berjaya diperakukan pendaftaran oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan undang-undang kecil koperasi telah diluluskan. Anggota Lembaga Koperasi pertama telah dibentuk seramai 9 orang dengan dipengerusikan oleh Ts. Mohd Zamri bin Buang.


Fungsi koperasi adalah jenis perkhidmatan dan menjalankan aktiviti utama seperti kerja kontrak perkhidmatan dan bekalan, perkhidmatan, pembersihan bangunan dan kawasan, pengindahan landskap dan hiasan dan penganjur acara, promosi pelancongan dan pengangkutan.


Keahlian anggota koperasi ketika ini adalah seramai 119 orang serta terbuka kepada seluruh kakitangan yang sedang berkhidmat, bekas pekerja dan pesara Majlis Bandaraya Iskandar Puteri. Penubuhan Koperasi ini adalah salah satu elemen penting dalam menyumbang kepada agenda kebajikan kakitangan di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri. Sudah tentunya, ianya akan terus menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan kepada sesiapa sahaja yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan matlamat koperasi ini. Rakaman setinggi-tinggi penghargaan kepada jawatankuasa penubuhan koperasi yang terdiri daripada wakil-wakil gred peringkat pekerja sesi 2018/2019.




Barisan Anggota Lembaga Koperasi Pertama bagi Sesi 2018/2019 seramai 9 orang. Ts. Mohd Zamri bin Buang dilantik sebagai Pengerusi Koperasi Iskandar Puteri Berhad buat julung kalinya.



Tidak dilupakan juga jutaan terima kasih kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Institut Koperasi Malaysia dan pentadbiran Majlis Bandaraya Iskandar Puteri(MBIP) yang terus memberikan sokongan dan kerjasama penuh semasa penubuhan koperasi ini. Tahniah dan Syabas kepada semua kakitangan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri(MBIP) kerana telah bersama-sama atas jasa dan sumbangan dalam menubuhkan Koperasi Iskandar Puteri Berhad.



PAUTAN AGENSI

Paparan terbaik menggunakan pelayar terkini seperti Google Chrome, Mozilla Firefox, Opera & Safari dengan resolusi minimum 1280 X 720 piksel

Hak Cipta Terpelihara © 2024 Majlis Bandaraya Iskandar Puteri