MENU

Majlis Tempatan Plentong

Ketika berlakunya darurat pada tahun 1949, penduduk-penduduk dari Kampung Baru Ban Foo, Kampung Lunchoo, Ladang San dan kampung-kampung yang berdekatan telah diarahkan oleh Kerajaan supaya berpindah dan dikumpulkan di sebuah tempat yang kini dikenali sebagai Kampung Baru Plentong.Majlis Tempatan Plentong telah ditubuhkan pada 1953 berikutan dengan pertambahan penduduk yang semakin ramai dan untuk menjaga keselamatan pekan tersebut. Pada ketika itu hanya 9 orang ahli jawatankuasa yang telah dipilih oleh penduduk manakala 2 orang ahli lagi dilantik oleh Kerajaan.Pada tahun 1958, sebuah bangunan Balairaya telah didirikan oleh Kerajaan untuk kegunaan orang ramai. Pada tahun 1967, sebuah pejabat Majlis Tempatan dibina di sebelah balairaya tersebut. Di sinilah pilihanraya dijalankan pada setiap tahun untuk memilih ahli-ahli jawatankuasa yang layak.

 

Majlis Tempatan Masai

Majlis Tempatan Masai pada mulanya adalah merupakan sebuah kampung kecil yang penduduknya tidak begitu ramai. Pada tahun 1949, ketika negara diancam oleh komunis dan diletakkan di bawah keadaan darurat, penduduk yang tinggal terpenci di tepi ladang dan kampung yang berhampiran telah diarah berpindah ke Masai. Pertambahan penduduk dan kekuatan pengaruh komunis telah mengancam keselamatan kawasan kampung. Akibatnya, pihak Kerajaan telah mengambil keputusan memagar kawasan tersebut untuk melindungi penduduk Masai daripada dihasut komunis dan bagi memudahkan urusan-urusan pentadbiran.

Pada tahun 1952, Kerajaan juga telah mengambil langkah sebagaimana Majlis-Majlis Tempatan lain, dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mentadbir kampung tersebut yang diketuai oleh Chee Meng Kee. Majlis Tempatan Masai telah ditubuhkan pada tahun 1953 dengan dianggotai oleh 9 orang ahli jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Chee Meng Kee. Pemilihan ini dibuat menerusi pilihanraya di mana 3 calon telah bertanding dengan menggunakan simbol kereta, basikal dan telefon. Pegawai Daerah pertama semasa penubuhan Majlis Tempatan ini ialah Tan Sri Dato' Samsu Bin Mahmood.