ISKANDAR PUTERI TELAH MENJADI AHLI UNESCO GLOBAL NETWORK LEARNING CITIES (GNLC)
Tarikh: 09/12/2025

ISKANDAR PUTERI TELAH MENJADI AHLI UNESCO GLOBAL NETWORK LEARNING CITIES (GNLC)

Bandar raya Iskandar Puteri secara rasmi telah berjaya diterima menyertai UNESCO Global Network of Learning Cities (GNLC) bersama 72 bandar dari 46 negara pada 4 Disember 2025, satu jaringan antarabangsa yang menghimpunkan bandar-bandar yang komited mempromosikan pembelajaran sepanjang hayat, pembangunan komuniti, dan kemajuan sosial inklusif. Iskandar Puteri merupakan bandar kedua menjadi ahli UNESCO GNLC di Malaysia dan PBT pertama di negeri Johor.
Keahlian ini merupakan pencapaian yang mencerminkan usaha berterusan bandar raya Iskandar Puteri sebagai sebuah hab pembelajaran sepanjang hayat dalam membina persekitaran pembelajaran yang holistik, mampan dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.
Sebagai anggota UNESCO GNLC, Iskandar Puteri kini berada dalam rangkaian global yang meliputi ratusan bandar pembelajaran dari seluruh dunia. Keanggotaan ini membolehkan bandar:
1. Mengakses kepakaran dan panduan UNESCO dalam merangka dasar, program dan strategi pembelajaran sepanjang hayat.
2. Berkongsi amalan terbaik dalam bidang pendidikan, digitalisasi, pembangunan komuniti, kesihatan, alam sekitar dan kemampanan.
3. Membangunkan program dan rangka tindakan tempatan yang memperkukuh kapasiti masyarakat dalam menghadapi perubahan ekonomi dan teknologi.
4. Menarik kerjasama antarabangsa, termasuk peluang pertukaran pengetahuan dan pelaksanaan projek pembangunan sosial.
Datuk Bandar Iskandar Puteri turut menegaskan bahawa keahlian ini bukan sekadar status, tetapi satu komitmen jangka panjang.
“Pembentukan Iskandar Puteri sebagai bandar pembelajaran sepanjang hayat adalah penting bagi memastikan kesinambungan pengetahuan yang dinikmati oleh semua kumpulan umur daripada pelbagai latar belakang. Ia membantu membangunkan potensi, meningkatkan keyakinan diri, merapatkan jurang sosial, memupuk persefahaman dan menyediakan hala tuju yang jelas. Dengan menawarkan pembelajaran sepanjang hayat, ia meningkatkan kebolehpasaran, menggalakkan peningkatan kemahiran (reskilling) dan kemahiran semula (upskilling) serta memperkasakan komuniti yang inovatif, pintar, dengan komitmen dan penyertaan daripada komuniti dan pihak berkepentingan.”
Sehubungan itu, MBIP akan melancarkan beberapa inisiatif baharu termasuk program literasi digital komuniti, rangkaian pusat pembelajaran komuniti, dan kempen penglibatan masyarakat yang menyepadukan aspek pendidikan, kesukarelawan serta pembangunan mampan.
Setinggi-tinggi terima kasih kepada Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM), barisan Ahli Majlis, seluruh warga kerja MBIP, pihak berkepentingan dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung atas kerjasama dan komitmen yang diberikan.


PAUTAN AGENSI

Paparan terbaik menggunakan pelayar terkini seperti Google Chrome, Mozilla Firefox, Opera & Safari dengan resolusi minimum 1280 X 720 piksel

Hak Cipta Terpelihara © 2026 Majlis Bandaraya Iskandar Puteri