AMANAT DAN PERUTUSAN DATUK BANDAR MAJLIS BANDARAYA ISKANDAR PUTERI
Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera dan Salam Maju Johor.
Iskandar Puteri Bandar Lestari,
Mekar membangun penuh wibawa,
Integriti teras perkhidmatan kami,
Selamat Tahun Baharu kepada semua.
Alhamdulillah, kita diberi kesempatan untuk melangkah ke lembaran baharu dalam kehidupan dan perkhidmatan kita. Tahun baharu bukan sekadar pertukaran angka pada kalendar, tetapi suatu ruang muhasabah, penilaian dan tekad untuk menjadi lebih baik daripada semalam.
AMANAH SEBAGAI PEMIMPIN
Suka untuk saya kongsikan sepotong ayat daripada Surah Hud Ayat 61.
Allah SWT berfirman:
“Dialah yang menciptakan kamu dari bumi dan menjadikan kamu sebagai pemakmurnya.”
Ayat ini meletakkan amanah memakmurkan bumi sebagai tanggungjawab manusia. Nilai kepimpinan Rasulullah SAW mesti menjadi panduan dalam perancangan dan pelaksanaan kita, agar dalam mengejar kemajuan duniawi, dimensi ukhrawi terus dipelihara demi membina negara yang seimbang dan diberkati.
Setiap individu, tidak kira kedudukannya, mempunyai tanggungjawab terhadap amanah atau tugas yang diberikan kepadanya. Sama ada dalam keluarga, masyarakat, atau tempat kerja, seseorang itu mesti bertindak dengan integriti serta mengambil kira kesan tindakannya terhadap orang lain.
Kepimpinan bukan sekadar memberikan arahan, tetapi memastikan keputusan dan tindakan yang diambil mencerminkan kepentingan umum demi kebaikan masyarakat. Kepimpinan secara kolektif perlu diterapkan agar pelaksanaan sesebuah tugas melibatkan semua peringkat jabatan.
HARAPAN TAHUN BAHARU
MENJUNJUNG TITAH TUANKU,
Suka untuk saya kongsikan titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor:
“Baginda menyeru agar semua penjawat awam memfokuskan usaha kepada akauntabiliti dan perkhidmatan yang efektif kepada rakyat Johor”
Antara teras utama yang ingin saya tekankan pada tahun ini ialah akauntabiliti dan integriti. Integriti bukan sekadar slogan atau dasar bertulis, tetapi cerminan jati diri, prinsip dan nilai yang dizahirkan melalui tindakan seharian.
Sebagai penjawat awam dan warga Pihak Berkuasa Tempatan, kita memegang kepercayaan rakyat. Setiap keputusan yang dibuat, setiap perkhidmatan yang diberikan dan setiap tingkah laku kita di mata masyarakat membawa imej MBIP.
Oleh itu, budaya kerja berintegriti mesti terus diperkukuh, dibudayakan dan dijadikan asas dalam setiap lapisan jabatan.
Tahun baharu menuntut semangat baharu. Semangat untuk bekerja dengan lebih cekap, lebih inovatif dan lebih berfokus kepada hasil. Kita perlu bersedia untuk berubah, menyesuaikan diri dengan cabaran semasa, memanfaatkan teknologi dan meningkatkan kemahiran agar perkhidmatan yang diberikan sentiasa relevan dan berkualiti.
Saya mahu melihat warga MBIP sebagai satu pasukan yang progresif, berfikiran terbuka dan sentiasa mencari ruang penambahbaikan. Jadikan setiap cabaran sebagai peluang, dan setiap kritikan sebagai dorongan untuk kita melangkah lebih jauh.
Marilah kita melangkah ke tahun ini dengan tekad untuk menjadikan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri sebuah organisasi yang cemerlang, selaras dengan VISI MBIP untuk menjadi sebuah BANDARAYA PINTAR, MAMPAN DAN SEJAHTERA.
Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
TUAN HAJI HASRIN KAMAL BIN HASHIM
Datuk Bandar
Majlis Bandaraya Iskandar Puteri
